| Tiga batu karang serentak |
|
|
|
|
BOLEH dikatakan penyakit batu karang merupakan antara kes yang sering berlaku di kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira usia dan keturunan. Tetapi adalah sesuatu yang malang apabila seseorang itu didapati mempunyai tiga batu karang serentak dalam badannya. Namun, itulah yang berlaku kepada Khairul Azri Abdul Karim, 37, yang menderita akibat tiga batu karang yang terbentuk di dalam kedua-dua belah buah pinggangnya. Menurut Khairul Azri yang berasal dari Kuala Kubu, Selangor, pada awalnya dia menyangkakan masalah yang dihadapi cuma penyakit batu karang biasa memandangkan dia pernah mengidap penyakit sama pada 2005. Bagaimanapun, pada 2005, penyakit itu berjaya dikesan pada peringkat awal dan ia berjaya diubati dengan memakan ubat yang diberikan doktor. Setelah tiga tahun berlalu, Khairul Azri tidak menyangka penyakit sama akan berulang kembali, malah lebih teruk dari sebelumnya. Segalanya bermula pada minggu pertama persekolahan tahun ini apabila Khairul Azri tiba-tiba diserang demam yang berpanjangan dan sakit pinggang yang amat sangat. Berikutan petanda ini, Khairul Azri telah dapat mengagak dia sekali lagi mengidap penyakit batu karang, ditambah pula setiap kali dia membuang air kecil, darah akan turut keluar sama. Setelah tidak lagi berdaya menahan kesakitan, dia akhirnya pergi mendapatkan rawatan di Hospital Pusrawi, Jalan Tun Razak. Pada awalnya, Khairul Azri menyangka ia cuma sekadar penyakit batu karang biasa. Namun, alangkah terkejutnya dia setelah menjalani imbasan CAT, terdapat tiga ketulan batu karang di dalam buah pinggangnya. Lebih menakutkan, doktor mendapati buah pinggangnya di bahagian kanan bengkak akibat saluran tersumbat gara-gara salah satu batu karang tersebut. Doktor kemudian menasihatkan Khairul Azri agar segera menjalani rawatan laser bagi menghancurkan batu karang tersebut. Akur dengan nasihat doktor, Khairul Azri menjalani rawatan tersebut bagi mengelak buah pinggangnya mengalami kerosakan lebih teruk jika ia terus dibiarkan. Berbanding hati yang mampu tumbuh semula, struktur penapis buah pinggang tidak dapat dipulihkan semula jika tercedera dan akan kekal rosak sehingga keseluruhan buah pinggang tidak dapat berfungsi lagi apabila terlalu banyak kerosakan yang berlaku. Pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang cuma mempunyai pilihan dialisis untuk membuang bahan kumuh di dalam darah atau menjalani pemindahan (transplan) buah pinggang untuk terus hidup. Menurut doktor, saiz batu karang Khairul Azri yang akan dihancurkan melalui pembedahan laser itu berukuran tujuh milimeter (mm). Doktor turut menasihatkan supaya dua lagi ketulan batu karang yang terdapat di bahagian kiri dan kanan buah pinggangnya dikeluarkan dengan menggunakan kaedah 'stenting'. Kaedah ini menggunakan tiub getah yang dimasukkan melalui salur kencing bagi melawaskan kencing. Dengan meletakkan tiub getah ini, ia akan membuka saluran air kencing dan memudahkan pengeluaran batu karang melalui air kencing. Panjang tiub ini dikatakan sepanjang satu kaki dan ia disalurkan ke kedua-dua belah buah pinggangnya. Mungkin agak sukar untuk membayangkan bagaimana tiub getah itu diletakkan selama dua minggu di dalam badan Khairul Azri sebelum ia boleh dikeluarkan. Namun, menurut doktor yang merawatnya, kaedah ini merupakan cara yang terbaik untuk mengubati penyakit batu karang kerana jika terlalu kerap menggunakan rawatan laser, ia boleh merosakkan kawasan sekitar buah pinggang pesakit. Ketika ditemui, bapa kepada tiga cahaya mata iaitu Muhammad Afiq Izzuddin, 9, Adelina Nadirah, 7, Muhammad Akhtar Riyad, 3, masih berada dalam keadaan lemah memandangkan dia baru sahaja selesai menjalani rawatan. Bagaimanapun, Khairul Azri bersyukur keadaannya kini semakin pulih dan tindakan pantas yang diambil berjaya mengelak kesan jangka panjang yang boleh merosakkan buah pinggangnya. Khairul Azri yang kini menetap di Bandar Country Homes, Rawang turut memberi nasihat kepada semua rakyat Malaysia agar tidak memandang remeh penyakit ini kerana jika ia tidak dirawat pada peringkat awal ia akan memberi kesan buruk yang boleh membawa maut. "Kita mungkin bersikap sambil lewa apabila mendapat tahu yang kita mengidap penyakit batu karang kerana pelbagai teknologi dan teknik rawatan moden boleh didapati kini. "Namun, jika rawatan awal dan segera tidak dijalankan, ia pasti akan memberi kesan buruk di kemudian hari," tegas Khairul Azri.
|
||
Info Kesihatan
Artikel Popular
Kongsi Facebook
Share on FacebookBeritahu kawan




